82
Sektor pertanian telah memainkan peranan yang besar pada awal
tahun 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia
sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980-an. Ekonomi
negara selepas merdeka dimonopoli oleh aktiviti-aktiviti pertanian dan
perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika
itu menunjukkan sumbangan sektor petanian dan perlombongan mencecah
angka 46 peratus.Inisiatif penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah pula telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di samping mendokong matlamat membasmi kemiskinan yang termaktub di dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA (1965), Bank Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi yang lain telah membantu dari segi kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit, dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian pada ketika itu.
Tiga dasar telah digubal dalam usaha memastikan sektor pertanian dapat bertindak sebagai ‘enjin ketiga’ pertumbuhan ekonomi negara di samping sektor perkhidmatan dan pembuatan. Dasar-dasar tersebut adalah merangkumi Dasar Pertanian Negara Pertama (1984-1991) yang memberi penekanan untuk membangunkan sektor pertanian yang berorientasikan ekspot; Dasar Pertanian Negara Kedua (1992-1997) yang memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan; dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) untuk meningkatkan dayasaing sektor pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan keyakinan tinggi bahawa sektor pertanian dan asas tani ini mampu menjana bukan sahaja pendapatan petani-petani luar bandar malahan juga ekonomi negara. Kesungguhan beliau dalam memajukan sektor pertanian terbukti dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan belanjawan 2006 yang telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar kepada sektor ini.
Transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing dalam RMK-9 dan Belanjawan 2006 ini bertujuan untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi para petani dan negara selain bertujuan untuk mengurangkan pergantungan terhadap barangan import bahan makanan dalam jangka masa panjang yang mana pada masa ini imbangan import bahan makanan masih lagi melebihi kemampuan mengeksport.
Sebagai suatu langkah jangka panjang, kerajaan telah mempertanggungjawab dan memperluaskan fungsi Kementerian Pertanian dan Asas Tani bukan sahaja merangkumi bidang pertanian, malah turut merangkumi bidang industri asas tani. Tujuannya ialah supaya sektor pertanian dan industri asas tani dimajukan berdasarkan semua aspek pengurusan rantaian bekalan, iaitu dari peringkat pengeluaran benih, pengeluaran, pengendalian lepas tuai, penyimpanan, logistik, penggredan, pelabelan, pembungkusan, pengangkutan, peruncitan, pemborongan, pemasaran, penjenamaan, pemerosesan sehingga dijual kepada pengguna (from farm to table). Selain daripada pengeluaran pertanian, fokus masa hadapan akan diberi kepada industri asas tani yang boleh disertai oleh industri kecil dan sederhana, terutamanya dalam bidang-bidang tambah nilai yang baru.
Selain itu, bagi meningkatkan pengeluaran dan kecekapan pengeluaran, kerajaan telah merancang pembangunan kawasan-kawasan pengeluaran berteraskan ‘Cluster’ seperti Zon Pengeluaran Buah-buahan, ‘Target Area Concentration’, Zon Industri Akuakultur dan beberapa pendekatan seperti Projek Pertanian Moden dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Kesemua ini pada akhirnya bertujuan untuk membangunkan komoditi dan produknya yang berteraskan ‘Industrial Districts’ di mana pemasaran, pengeluaran, innovasi dapat dirancang dan diperlengkapkan dengan infrastruktur sokongannya.
Kerajaan, menerusi Kementerian Petanian dan Asas Tani juga memperkenalkan sebuah jenama yang akan dapat membezakan hasil-hasil pertanian negara dengan hasil-hasil pertanian negara lain dengan menitikberatkan kualiti dan keselamatan makanan iaitu ‘Malaysia Best’. Penjenamaan ini akan menekankan aspek pemantauan dan penelitian rapi menepati standard antarabangsa melibatkan semua aktiviti bermula daripada penjagaan ladang sehingga ke meja pengguna. Program penjenamaan ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga dalam jangka masa panjang kepada pengeluar dan negara. Pengeluar hasil-hasil pertanian akan menikmati permintaan yang tinggi di pasaran domestik dan antarabangsa memandangkan produk mereka telah memenuhi citarasa pengguna dan telah melepasi tahap kualiti pasaran.
Kerajaan melihat bahawa bagi memajukan sektor pertanian, pertanian komersial, iaitu melalui amalan kaedah terkini seperti aplikasi teknologi dan penemuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk penggunaan bioteknologi perlu diaplikasikan. Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan turut mengenal pasti beberapa bidang dan produk baru yang berpotensi untuk dimajukan bagi mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi. Salah satu sumber pertumbuhan baru yang dikenalpasti ialah pembangunan pusat makanan halal, ekuin dan haiwan eksotik, ‘minimally processed food’ dan produk-produk bioteknologi seperti kultur sel, ‘pharmaceutical’, ‘nutraceutical’, produk-produk herba dan makanan ternakan atau bahan tambahan makanan ternakan.
Selain itu, pengeluaran dan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit atau biofuel minyak sawit turut dilihat mampu untuk menjadi sumber pertumbuhan baru ekonomi negara. Kaedah ini telah digunakan di beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) sebagai bahan api untuk pengangkutan dan industri. Di negara Jerman, biofuel digunakan bagi keretapi komersil dengan prestasi yang baik. Di samping itu, hasilan minyak sawit, seperti stearin, juga digunakan sebagai bahan api untuk loji janakuasa dan dandang.
Permintaan pasaran bagi biofuel minyak sawit ini adalah amat menggalakkan. Pada tahun 2004, permintaan bagi biofuel dunia ialah sebanyak 2.5 juta tan dan dijangka meningkat pada kadar 25 peratus setahun.
Bagaimanapun, di sebalik keyakinan kerajaan terhadap sektor pertanian, bank-bank di negara ini pula melihat dari sudut yang berbeza. Keyakinan lebih tertumpu kepada sektor perindustrian dan perumahan bagi diberikan kemudahan pinjaman kewangan. Keadaan ini sedikit sebanyak akan memberikan impak terutamanya bagi petani meningkatkan kualiti dan taraf mereka dari taraf petani tradisional kepada petani moden. Oleh kerana mentaliti pihak bank yang beranggapan bahawa sektor pertanian tidak menguntungkan, mereka telah mengenakan syarat-syarat yang ketat dan menekan yang dikenakan pihak bank kepada petani. Langkah yang diambil mereka ini bukan sahaja menyulitkan, malah
Mampu melemahkan semangat para petani yang mempunyai perancangan menukar status mereka daripada petani tradisional kepada petani moden.
Baru-baru ini, Perdana Menteri telah memberikan teguran dan berharap agar pihak bank memberikan kepercayaan mereka terhadap sektor pertanian dengan memudahkan proses pinjaman yang melibatkan para petani sejajar dengan dasar dan penumpuan kerajaan terhadap ‘enjin ketiga’ atau sektor pertanian ini.
Kata-kata Perdana Menteri bukanlah omongan kosong semata. Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan Jasmin Jasin, Penerima Anugerah Peladang Jaya Lelaki Kebangsaan yang berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM2.1 juta setahun dengan hanya ‘berbudi dengan tanah’. Tidak dapat disangkal, bidang pertanian ini bukan suatu kerjaya yang glamor, namun ia menjanjikan pendapatan lumayan kepada mereka yang sanggup memerah keringat di bawah terik matahari dan menempuh pelbagai cabaran pada peringkat permulaan.
Kempen Buku Hijau yang dilancarkan pada bulan Mac lalu, dan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2006) yang diadakan baru-baru ini dan kata-kata ‘Berdaya maju sendiri’ yang dilaungkan beliau terhadap pembabitan rakyat dalam menghasilkan sebahagian daripada keperluan makanan sendiri perlu diadaptasikan.
Secara logiknya, segala rungutan mengenai harga barangan bahan mentah seperti sayuran, daging dan sebagainya tidak akan lagi kedengaran sekiranya laungan ini diterjemahkan dalam kehidupan. Jika setiap warga mampu menghasilkan makanan sendiri, seolah sebahagian daripada masalah negara telah dapat diselesaikan. Bukan sahaja masalah ekonomi individu, masalah ekonomi negara turut dapat diselesaikan.
Dipetik daripada : http://datatanah.peradabanmelayu.my/index.php/data-tanah-terbiar/34-data-tanah-terbiar-malaysia/64-perkembangan-semasa-sektor-pertanian
PERKEMBANGAN SEMASA SEKTOR PERTANIAN DI MALAYSIA |
1.0 PENGENALAN
Pertanian merujuk kepada perihal pengeluaran makanan dan barangan melalui perkebunan, penanaman, penternakan dan perhutanan.
Pertanian merupakan pembangunan penting kepada kebangkitan tamadun
apabila penanaman dan penternakan membawa kepada lebihan makanan dan
seterusnya membolehkan pembangunan dalam masyarakat yang semakin ramai
dan berkelas. Sektor pertanian, merupakan antara aktiviti ekonomi yang
dikategorikan sebagai sektor utama (primer sektor) selain daripada
perlombongan dan kuari. Walaupun proses urbanisasi semakin pesat dan
tumpuan banyak diberikan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan, namun
majoriti populasi di Asia Tenggara masih mendiami kawasan luar bandar
dan bergantung kepada kegiatan pertanian sebagai sumber ekonomi utama.
Sektor
pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi
negara-negara membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri
terpenting yang membezakan status antara negara-negara membangun dan
negara-negara maju. Sektor ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas
pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka yang mana
pada masa tersebut, majoriti penduduk tertumpu kepada aktiviti ekonomi
berasaskan pertanian dan perlombongan. Namun, dengan kepesatan
pembangunan dan kemajuan negara, sektor pertanian beransur-ansur
dipandang sayu. Para petani juga tidak lagi berminat menjalankan
kerja-kerja tani yang dahulunya pernah menjadi pekerjaan turun-temurun.
Lebih parah, generasi pelapis yang diharapkan akan meneruskan pekerjaan
turun-temurun itu lebih berminat berhijrah ke bandar-bandar besar
mencari pekerjaan yang lebih ´bermaruah´ dan menawarkan pendapatan yang
lebih tinggi dan terjamin dalam sektor perindustrian. Hal ini kerana
imej pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi dan memiliki
kemudahan sosial yang lebih baik. Peluang membaiki taraf ekonomi
melalui pendapatan di sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih
terjamin. Sebaliknya, pendapatan di sektor pertanian tidak stabil.
2.0 PERKEMBANGAN PERTANIAN MALAYSIA PADA MASA KINI
Sektor
pertanian telah memainkan peranan penting di dalam pembangunan sosial
dan ekonomi Malaysia. Kegiatan pertanian pada masa itu adalah pertanian
sara diri dan tradisional. Tanaman industri iaitu getah mula
diperkenalkan pada tahun 1887 apabila benih getah ditanam di Kuala
Kangsar, Perak. Penubuhan Institut Penyelidikan Getah pada tahun 1926
telah mengorak langkah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama getah
asli di dunia untuk beberapa abad sehinggalah akhir tahun 1980an.
Sumbangan terhadap Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) telah meningkat
kepada RM6.8 bilion pada tahun 1995, berbanding RM3.6 bilion pada tahun
1985 iaitu peningkatan sebanyak 5.6 peratus. Jumlah kawasan tanaman
sawit telah meningkat daripada 1.5 juta hektar pada tahun 1985 kepada
2.5 juta hektar pada tahun 1995.
Penubuhan
institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan pemulihan tanah
seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah telah
mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman industri di
samping mencapai matlamat membasmi kemiskinan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Sementara itu, penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA(1965), Bank
Pertanian Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras
Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (1971),
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan
Pertanian Kemubu (KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973)
dan beberapa agensi yang lain telah menyediakan kemudahan pemasaran,
penyelidikan, kredit dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan
mempergiatkan lagi pembangunan sektor pertanian.
Sejak
pelaksanaan DPN1 mulai 1984 dan DPN2 mulai 1992, sektor pertanian telah
mencatat kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 3.2%. Jumlah
nilai-ditambah pertanian telah meningkat dari RM11.9 bilion pada tahun
1985 kepada RM16.2 bilion pada tahun 1995. Nilai eksport barangan
pertanian pula telah meningkat daripada RM 13.9 bilion tahun 1985 kepada
RM 35.4 bilion pada tahun 1995 yang merupakan pertumbuhan purata
tahunan sebanyak 9.8%.
2.1 Polisi Dalam Pertanian Malaysia
2.1.1 Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)
Dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pertanian menjadi satu sektor
utama yang diberi tumpuan. Sejumlah RM11.4 bilion diperuntukkan bagi
meningkatkan sektor pertanian menjadi lebih moden, dinamik dan
kompetitif. Sejumlah RM4.4 bilion diperuntukkan untuk permodenan sektor
pertanian, terutama pembangunan wilayah dan penanaman semula serta
program baik pulih tanah. Sementara itu RM2.6 bilion untuk menyokong
perkhidmatan pertanian dan RM1.5 bilion lagi untuk program pengairan
pertanian. Pertambahan peruntukan dan kadar pertumbuhan ini juga
menandakan sektor pertanian akan meningkat dari segi guna tenaga dan
pelaburan sektor swasta. RMK-9 turut menyediakan insentif dan peluang
yang lebih luas kepada sektor swasta dan komuniti petani untuk
mengusahakan pertanian secara komersial berskala besar bagi meningkatkan
produk berkualiti dan tambah nilai. Peningkatan ini boleh
dilakukan dengan penggunaan kaedah moden, terutama bioteknologi dan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Dengan adanya dasar dan
pelbagai insentif yang menyokong sektor pertanian dijangka dapat
mengubah imej dan citra sektor pertanian, seterusnya menarik minat lebih
ramai usahawan tani dan petani mahir
Dari
segi perkembangan pada peringkat global, sektor pertanian sebenarnya
mengalami pelbagai perubahan dan permodenan drastik. Dengan menggunakan
pengetahuan bioteknologi, produk pertanian boleh dipertingkatkan dari
segi kualiti dan ketahanan. Sebagai contoh, manipulasi genetik boleh
dilakukan untuk mengelakkan tanaman dimusnahkan serangga perosak. Selain
itu, produk pertanian juga boleh direka bentuk secara biologi agar
tahan lama dan tidak mudah busuk. Biarpun penggunaan bioteknologi sering
dikritik terutama di Eropah, khususnya terhadap produk makanan (makanan
diolah secara genetik (GMF), permintaan terhadap produk berkenaan terus
meningkat. Hal ini begitu ketara di jaringan pasar raya utama di
seluruh dunia. Antara strategi dalam perlaksanaan rancangan RMK-9 ialah
menambahkan kawasan pengeluaran agro-makanan, memajukan sumber
pertumbuhan baru seperti tangkapan ikan laut dalam dan tuna, rumpai
laut, ikan hiasan dan bunga-bungaan,meningkatkan industri asas tani,
pematuhan Piawaian dan Kualiti Antarabangsa dan Penyediaan Pinjaman dan
Insentif.
2.1.2 Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3), 1998-2010
Objektif
utama DPN3 adalah untuk memaksimakan pendapatan melalui penggunaan
sumber secara optima dalam sektor ini. Ia meliputi usaha memaksimakan
sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),
pendapatan eksport serta pendapatan petani, penternak dan nelayan.
Secara spesifik, objektif DPN3 adalah untuk meningkatkan sekuriti
makanan (food security), meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor
pertanian, mengukuhkan pertalian dengan sektor-sektor lain, mewujudkan
sumber pertumbuhan yang baru untuk sektor pertanian dan memulihara dan
menggunakan sumber-sumber asli secara mampam. Justeru itu, DPN3
memperkenalkan dua pendekatan strategik yang baru iaitu pendekatan
perhutani (agroforestry approach) dan pendekatan berasaskan produk
(product-based approach).
Pendekatan
perhutani bertujuan untuk memberi perhatian kepada masalah kekurangan
sumber-sumber termasuk tanah, buruh dan bahan mentah. Di bawah
pendekatan ini, kegiatan pertanian dan perhutanan dilihat sebagai dua
kegiatan yang serasi dan saling melengkapi. Pendekatan strategik baru
yang kedua ialah pendekatan berasaskan produk. Melalui pendekatan ini,
produk-produk dan pasaran-pasaran utama dikenalpasti berdasarkan
permintaan, potensi pasaran dan cita rasa pengguna. Dengan menggunakan
pendekatan berasaskan produk, ia akan memberi penekanan kepada keperluan
dan cita rasa pengguna serta pasaran khusus di seluruh dunia. Ini akan
mewujudkan peluang untuk menambah pengeluaran dan meningkatkan keupayaan
pemasaran hasil-hasil pertanian.
Di
dalam tempoh DPN3, pertumbuhan pertanian dijangka akan terus meningkat
melalui penggunaan tanah yang lebih intensif. Tanaman getah, padi,
kelapa dan koko masing-masing dijangka akan berkurangan iaitu seluas
494,000 hektar, 302,600 hektar, 73,400 hektar dan 30,700 hektar.
Kebanyakan kawasan ini akan ditanam semula dengan perhutani, kelapa
sawit, buah-buahan dan sayur-sayuran. Pembukaan tanah baru pula akan
hanya dilaksanakan di Sabah dan Sarawak di mana masih terdapat kawasan
tanah yang luas. Dengan itu, peningkatan keluasan guna tanah dijangka
meningkat hanya pada tahap 0.5% setahun iaitu daripada 5.7 juta hektar
kepada 6.2 juta hektar.
2.2 Data Dan Stastistik Perkembangan Pertanian Malaysia
Jadual 1.0: Sumbangan Sektor Pertanian 2000, 2005 dan 2010
(Sumber : Buku Perangkaan Pertanian Malaysia )
Sektor
pertanian, hanya menyumbang 8.9% (RM18,662 juta) pada tahun 2000,
menyusut 8.2% (RM21,585 juta) pada tahun 2005 dan disasarkan menguncup
7.8% (RM27,518 juta) pada tahun 2010. Sektor pertanian hanya mencatatkan
purata kadar pertumbuhan sebanyak 1.2%, paling rendah dalam tempoh
RMKe-7; menokok kepada 3.0% bagi tempoh RMKe-8 dan dalam tempoh RMKe-9
dianggarkan mengukuh pada 5.0%. Sektor pertanian pula hanya menyumbang
6.1% (RM22,892 juta) kepada eksport pada tahun 2000 dan 7.0% (RM37,421
juta) pada tahun 2005. Peratus sumbangannya diunjurkan menguncup kepada
6.8% (RM54,992 juta) pada tahun 2010 Guna tenaga dalam sektor pertanian
pula adalah yang terendah iaitu hanya menyumbang sebanyak 15.3% (1.423
juta) pada tahun 2000 dan mengalami penguncupan pula kepada 1.406 juta
(13.3%) pada tahun 2005. Sumbanganya dianggarkan terus merosot kepada
1.323 juta (10.9%) pada tahun 2010.
Jadual 2.0 : Pengeluaran Bagi Hasil Tananaman Terpilih 2002 hingga 2008.
(Sumber : Laman web Kementerian Asas Tani)
Antara
hasil pertanian terpilih ialah minyak sawit mentah, getah asli, biji
koko, beras , teh nenas, isirong sawit, dedak kopra, biji koko dan
tembakau. Bagi tanaman getah, berlaku peningkatan hasil pertanian
sepanjang tahun sehingga 2006. Manakala bagi tahunn 2008, berlaku
penurunan kepada 1072.4 tan metrik, berbanding dengan tahun 2006 iaitu
sebanyak 1283.6 tan metrik. Berlainan dengan tanaman tembakau yang
mengalami peningkatan pada tahun 2008 menjadi 6.3 tan metrik. Namun
begitu, hasil pertanian ini adalah lebih baik pada tahun 2002 dan 2004
iaitu masing-masing sebanyak 11.3 tan metrik dan 12.9 tan metrik.
Jadual 3.0 : Jadual Guna Tanah Bagi Sektor Pertanian.
(Sumber : Laman web Kementerian Asas Tani)
JADUAL 4.0 : RINGKASAN PERDAGANGAN LUAR NEGERI BAHAN MAKANAN
( Sumber : Buku Perangkaan Pertanian Malaysia)
Jumlah
keseluruhan eksport pertanian Malaysia sepanjang tahun 2003 ialah RM
53,143 juta. Manakala pada tahun 2008, jumlah eksport adalah sebanyak
RM53,841juta. Ini bermakna terdapat peningkatan eksport yang agak kecil
dari tahun 2003 hingga tahun 2008 iaitu sebanyak RM698 juta. Bagi jumlah
eksport bahan makanan pada tahun 2003 ialah RM8,348 juta yang mewakili
15.7%. Jumlah eksport bahan makanan meningkat dari tahun ke tahun,
walaupun peningkatan hanya kecil sehingga tahun 2007. Manakala pada
tahun 2008 jumlah eksport bahan makanan berkurangan kepada RM8241 juta
yang mewakili 15.3%. Jumlah imbangan sektor pertanian ialah pada tahun
2003 ialah RM2,733 juta, dan pada tahun 2008 pula RM25,004 juta.
Manakala
jumlah import sektor pertanian pula pada tahun 2003 ialah sebanyak
RM25,808 juta. Jumlah import ini meningkat sepanjang tahun sehingga
tahun 2007. Manakala pada tahun 2008, jumlah import menurun kepada
RM2,8237 juta. Jumlah import bahan makanan bagi tahun 2003 ialah RM
1,2687 juta yang mewakili 49.2%, manakala bagi tahun 2008 pula ialah
RM13,371 juta yang mewakili 46.3% dari jumlah keseluruhan import bahan
makanan.
3.0 PROGRAM PENINGKATAN PENGELUARAN DAN PRODUKTIVITI BAGI SEKTOR PERTANIAN
3.1 Pemberian Insentif Kepada Pengusaha-Pengusaha Pertanian
Kos
pengeluaran telah meningkat dengan ketara mulai tahun 2007. Komponen
utama yang mengalami kenaikan ialah baja dan racun, sebagai contoh,
dalam tempoh 2003 hingga 2007 sahaja, kos baja sebatian untuk
pengeluaran sehektar telah naik sebanyak 85.5%, iaitu daripada
RM868/t.m. kepada RM1,610/t.m. Racun perosak untuk pengeluaran
buah-buahan pula meningkat daripada RM96 kepada RM156. Bermula pada
bulan Jun 2008, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi insentif
pengeluaran kepada yang menghasilkan bahan-bahan pertanian bagi
menampung sebahagian peningkatan kos. Pelaksanaan pembayaran insentif
ini adalah melalui pendaftaran pengusaha-pengusaha dengan pihak
Kementerian sahaja. Oleh yang sedemikian, sebanyak RM513 juta telah
diluluskan bagi tahun 2008.
3.2 Mengukuhkan FAMA Bagi Memastikan Pasaran Dan Pengagihan Hasil-Hasil Pertanian
FAMA
akan meningkatkan keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian melalui
pembangunan pusat pengedaran, pusat pengumpulan dan peningkatan bilangan
pasar tani sebanyak 50 buah di seluruh negara sebagai tambahan kepada
230 yang sedia ada. Bagi tujuan ini, sebanyak RM39 juta telah diluluskan
bagi tahun 2008. Tambahan lagi, daripada jumlah ini, wang pusingan urus
niaga sebanyak RM25 juta disediakan untuk membolehkan pembelian hasil
pertanian.
3.3 Pelaksanaan Program Bumi Hijau
RM25.9
juta diluluskan bagi program ini bagi tahun 2008. Ia meliputi kawasan
bandar dan desa bagi menggalakkan penduduk bercucuk tanam dan menternak
ayam serta ikan, atau dengan kombinasi yang sesuai untuk menampung
keperluan keluarga dan selebihnya dijual. Ia dilaksanakan di halaman
rumah dengan mengambil kira konsep “kitchen garden” dan “edible
landscape”. Pihak Kementerian akan mengedarkan biji benih sayuran
terpilih, baja serta manual pelaksanaan kepada seluruh lapisan
masyarakat.
3.4 Pengurusan Kawasan Terbiar Untuk Meningkatkan Pengeluaran Komoditi Sekuriti
Bagi
meningkatkan pengeluaran hasil-hasil pertanian, tanah terbiar boleh
dibangunkan dalam masa yang singkat. Tumpuan diberikan terhadap tanah
hak milik perseorangan yang terletak berhampiran di antara satu sama
lain melalui kaedah “profitsharing” dengan pihak swasta yang dikenal
pasti. Sebanyak RM25 juta diluluskan bagi tahun 2008 untuk membangunkan
kawasan pertanian dan kolam terbiar. Jumlah peruntukan yang disediakan
bagi tahun 2008 sebanyak RM2,500 juta. Oleh yang sedemikian, pelan
tindakan pelaksanaan bagi setiap program secara menyeluruh dan
terperinci telah digubal agar peruntukan sejumlah RM2,500 juta kepada
Kementerian dapat dibelanjakan kesemuanya dalam tempoh lapan bulan dalam
tahun ini.
3.5 Konsep Ladang Merdeka
Konsep
Ladang Merdeka menumpukan kepada usaha perladangan padi secara
komersial berteraskan teknologi menerusi proses penyatuan lot-lot tanah
sawah kecil menjadi lot-lot besar. Sehingga kini sebanyak 16 projek
sedang beroperasi melibatkan sawah seluas 708 hektar dengan penyertaan
2,609 petani. Mini Estet Padi dan perladangan kelompok pula menumpukan
kepada pemuafakatan sekumpulan petani mengusahakan sawah di sesuatu
kawasan bendang dengan bimbingan intensif daripada KADA dan kemudahan
kredit input pertanian daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang
dibayar balik setelah selesai musim penuaian. Sebilangan petani maju
diberikan bimbingan intensif di bawah projek 10 tan/hektar bagi
meningkatkan kadar pengeluaran padi ke arah 10 tan/hektar.
Antaranya
program yang dijalankan oleh KADA ialah permodenan sistem pengairan
rumah-rumah pam dan peningkatan kecekapan dan keberkesanan bekalan air
dan penekanan kepada penggunaan teknologi moden dan amalan pertanian
baik. Program lain termasuklah pengurusan rumpai, perosak dan penyakit
tanaman secara bersepadu. KADA mensasarkan pada akhir RMKe-9, kadar
pengeluaran padi dari seluruh kawasan KADA akan ditingkatkan daripada
4.28 tan/hektar kepada 5.30 tan/hektar bagi membolehkan sumbangan KADA
kepada pengeluaran padi negara ditingkatkan 225,000 tan setahun kepada
307,000 tan setahun.
3.6 Memperluaskan Fungsi Kementerian Pertanian dan Asas Tani
Tujuan memperluaskan Kementerian Pertanian dan Asas Tani ialah
supaya sektor pertanian dan industri asas tani dimajukan berdasarkan
semua aspek pengurusan rantaian bekalan. Selain itu, bagi meningkatkan
pengeluaran dan kecekapan pengeluaran, kerajaan telah merancang
pembangunan kawasan-kawasan pengeluaran berteraskan ‘Cluster’ seperti
Zon Pengeluaran Buah-buahan, ‘Target Area Concentration’, Zon Industri
Akuakultur dan beberapa pendekatan seperti Projek Pertanian Moden dan
Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Ini bertujuan bertujuan untuk
membangunkan komoditi dan produknya yang berteraskan ‘Industrial
Districts. Kerajaan, menerusi Kementerian Petanian dan Asas Tani juga
memperkenalkan sebuah jenama iaitu ‘Malaysia Best’.
4.0 ISU DAN CABARAN SEKTOR PERTANIAN
4.1 Masalah Tenaga Buruh
Masalah
utama dalam pertanian ialah maalah tenaga buruh. Penghijrahan tenaga
buruh dari sektor pertanian ke sektor bukan pertanian ini mengakibatkan
kekurangan tenaga buruh di sektor pertanian. Mengikut kajian Persatuan
Peladang Bersatu Malaysia (UPAM), bilangan ladang di Semenanjung
Malaysia yang mengalami masalah tenaga buruh telah meningkat tahun demi
tahun. Sektor ini kini masih menghadapi
pelbagai cabaran, antaranya ialah tenaga kerja yang semakin tua, iaitu
21.4% adalah berumur 55 tahun ke atas. Saiz tanah yang diusahakan adalah
kecil dan kurang ekonomik, iaitu 65% darlpada pesawah padi mempunyai
saiz sawah kurang daripada satu hektar.
4.2 Tanah Terbiar
Pada
tahun 1996, kekurangan tenaga buruh adalah salah satu faktor
pengurangan keluasan tanaman getah. Keluasan tanaman getah dijangka
berkurang sebanyak 10 ribu hektar, iaitu 6 ribu hektar di kebun kecil
dan 4 ribu hektar bagi estet. Sektor pertanian menghadapi masalah tanah
terbiar yang serius. Pada 1981, di Semenanjung Malaysia, tanah terbiar
adalah seluas 890 000 hektar, iaitu terdiri daripada tanah sawah seluas
160 863 hektar dan tanah bukan sawah seluas 728 127 hektar. Keadaan ini
telah berkurang pada tahun 1986, iaitu kepada 553 372 hektar yang
terdiri daripada 125 256 hektar tanah sawah dan 428 117 hektar tanah
bukan sawah. Pada 1987, tanah terbiar meningkat semula, iaitu kepada 654
413 hektar yang terdiri daripada 89 399 hektar tanah sawah dan 565 014
hektar tanah bukan sawah (Abd. Malik dan Mohaini, 1992). Pada 1990,
tanah terbiar telah merosot kepada 57 597 hektar (Jabatan Pertanian
Semenanjung Malaysia 1994).
4.3 Cabaran di peringkat Luar Negara
Pada
peringkat antarabangsa kedudukan sektor pertanian negara menjadi
semakin mencabar dengan terbentuknya WTO di mana liberalisasi
perdagangan antarabangsa menyebabkan persaingan semakin sengit. Sektor
pertanian negara terancam sekiranya tidak bersedia meningkatkan daya
pengeluaran untuk memperolehi daya saing yang lebih tinggi. Semenjak
krisis kewangan Asia pada tahun 1997, imbangan dagangan makanan telah
mengalami defisit sebanyak RM4.7 bilion pada tahun 1997 berbanding
dengan defisit RM2.2 bilion pada tahun 1994. Defisit imbangan dagangan
ini terus meningkat dari tahun ke tahun, terutamanya pada tahun 2001
yang mencatatkan defisit RM5.7 billon. Penurunan nilai ringgit juga
menyebabkan peningkatan harga import bagi input pertanian dan makanan
dari setahun ke setahun. Keadaan ini telah menimbulkan kesan yang
negatif terhadap perkembangan sektor pertanian negara.
Liberalisasi
perdagangan di bawah WTO dan AFTA juga akan menyebabkan hasil pertanian
negara menghadapi persaingan lebih sengit daripada negara-negara
pengeluar yang lain yang mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang.
Import makanan negara turut meningkat setiap tahun kesan dari
pertambahan bilangan dan taraf hidup penduduk. Pada tahun 1996, import
makanan (termasuk makanan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5
bilion berbanding dengan RM4.6 bilion pada 1990. Pada tahun 1997
(Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1 bilion. Malaysia mengalami
defisit dalam perdagangan makanan (termasuk makanan binatang) dan input
pertanian. Ini bermakna terdapat lebihan aliran keluar wang negara bagi
membiayai import. Pada tahun 1996 eksportnya adalah sebanyak RM4.2
bilion, dan pada 1997 (Januari-Oktober 1997) adalah RM4.5 bilion. Ini
bermakna defisit dalam perdagangan makanan dan input pertanian ialah
RM6.3 bilion pada 1996, dan RM4.6 bilion pada 1997.
5.0 KESIMPULAN
Secara
tuntasnya di sini, pertanian Malaysia sebenarnya semakin merundum sejak
akhir-akhir ini. Dengan isu peningkatan harga makanan dan krisis
makanan yang melanda ini, sektor pertanian menghadapi cabaran yang lebih
besar lagi dalam mencapai keseimbangan dari segi menjamin belakan
makanan mencukupi yang memerlukan pertambahan kawasan tanaman dan pada
masa yang sama memastikan aktiviti ini tidak memburukkan lagi keadaan
iklim dunia. Oleh yang demikian, pemahaman terhadap impak positif dan
negatif amalan-amalan pertanian adalah amat penting.
Dalam
menjana pertumbuhan baru di bidang pertanian, kita juga perlu
mewujudkan persekitaran yang sihat. Faktor ini merupakan perkara asas
bagi pembangunan sesebuah negara untuk terus maju dalam meningkatkan
produktiviti dan hasil pertanian dalam memenuhi keperluan rakyatnya.
Persekitaran pembangunan yang sihat melalui pengurusan sumber alam yang
efisyen, terjaga, berterusan dan di lengkapi pula dengan sumber manusia
yang terlatih adalah asas kepada pembangunan pertanian yang produktif
dan ini sudah tentu menjadi pemangkin dalam menjana pertumbuhan pelbagai
industri lain yang diperlukan oleh negara.
Dalam
dunia yang serba bersaing, kepentingan membangunkan modal insan telah
menjadi kemestian. Baik di bidang apa pun yang kita terokai, daya
pemikiran, kreativiti dan inovasi rakyat sesebuah negara itulah menjadi
penentu untuk kejayaan. Dari pemikiran dan idea maka lahirlah penemuan
yang boleh merubah sesuatu keadaan kepada sesuatu yang lebih baik dan
sempurna. Dalam bidang pertanian, inovasi yang menambahbaik sesuatu
teknologi akan membawa perubahan kepada peningkatan produktiviti dan
kualiti hidup tanpa mencemar alam semula jadi. Faktor ini menjadi
penentu kepada kelangsungan sesebuah ekonomi dan dapat meletakkannya ke
tahap yang stabil dan selamat dalam jangka panjang. Bagi negara yang
mementingkan pembangunan pertanian mampan dan kualiti kehidupan yang
harmoni akan sentiasa memupuk rakyatnya untuk meningkatkan tahap
penguasaan dan penghayatan ilmu demi kebaikan manusia sejagat.
|
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
Dipetik daripada : http://cmslib.uum.edu.my/m2012/index.php/karya-merdeka?layout=edit&id=31
Pencapaian Malaysia : Pertanian
- Hits: 6219
Sektor Pertanian merupakan salah satu
sektor penting yang mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana ia
merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk
dunia. Kebolehan sesebuah negara memajukan sektor pertanian di negaranya
menunjukkan keupayaan negara tersebut membekalkan makanan yang
mencukupi kepada rakyatnya. Oleh yang demikian, negara-negara maju
seperti Amerika Syarikat, Australia dan juga Belanda tidak meminggirkan
pembangunan sektor pertanian di negara mereka, malahan ia dimajukan
sebagai satu entiti perniagaan yang berdaya saing dan menguntungkan.
Malaysia merupakan negara pengimport makanan, bil imbangan dagangan
makanan negara tidak pernah mencatatkan nilai lebihan, walaupun negara
kita dirahmati dengan tanah yang subur, taburan hujan yang mencukupi
serta iklim yang sesuai.
Menyedari peluang dan potensi untuk
membangunkan sektor ini, Kementerian ini telah diamanahkan untuk
membangunkan sektor pengeluaran makanan atau sektor agro-makanan agar ia
berdaya saing dan boleh menyumbang kepada pendapatan negara. Usaha
untuk mentransformasikan sektor ini merupakan satu cabaran yang amat
besar memandangkan ia bukan sahaja melibatkan perubahan gaya pelaksanaan
aktiviti pertanian daripada pendekatan tradisional kepada
pengaplikasian teknologi terkini, malahan ia turut memerlukan anjakan
minda masyarakat untuk meninggalkan stigma bahawa pertanian merupakan
aktiviti yang mundur dan berkemahiran rendah.
Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
Ditubuhkan pada Mac 2004 adalah bertanggungjawab terhadap pembangunan sektor komoditi utama negara.
Sektor perusahaan perladangan dan
komoditi merangkumi penanaman dan penghasilan minyak sawit, getah, kayu,
koko lada dan tembakau. Pada tahun 2006, nilai eksport bagi komoditi
dan produk berasaskan komoditi adalah RM76.50 billion, menyumbang 12.91
peratus kepada jumlah eksport Malaysia bagi tahun berkenaan. Sektor ini
telah menyumbang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
negara. Sektor perusahaan perladangan dan komoditi terus berkembang
menjadi sektor yang dinamik, kukuh dan menjadi sektor asas kepada
kekukuhan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ia turut menyumbang kepada
Produk Berasaskan Domestik (GDP), sektor pekerjaan dan pendapatan
eksport serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Selain
daripada itu, sektor ini juga memberikan banyak peluang dan telah
berkembang bermula daripada proses pengeksportan bahan mentah kepada
penghasilan barangan separuh siap, barang telah diproses dan barang
siap, di samping menghasilkan lebih produk nilai tambah bagi
meningkatkan pasaran.
Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani
Kementerian Pertanian wujud sebagai
sebuah Kementerian yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pertanian
(termasuk perikanan dan ternakan) pada tahun 1978. Terdahulunya semua
urusan atau aktiviti pertanian dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan
Pertanian sejak tahun 1905. Selepas pembentukan kabinet pada 27 Mac
2004, Kementerian Pertanian telah bertukar kepada Kementerian Pertanian
dan Industri Asas Tani (MOA). Dengan struktur organisasi yang mantap,
MOA bersama sebelas (11) Jabatan dan agensi di bawahnya iaitu Jabatan
Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan
Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga
Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bank Pertanian Malaysia (BPM),
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga kemajuan Pertanian
Muda (MADA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM),
menggembleng seluruh pemikiran dan tenaga organisasinya secara terancang
dan bersepadu untuk merealisasikan visi nya sebagai “Peneraju
Transformasi Pertanian’ dan ke arah pencapaian matlamat utama Dasar
Pertanian Negara Ketiga (DPN3) dan Rancangan Malaysia ke Sembilan.
Mardi
Institut Penyelidikan dan Pembangunan
Pertanian Malaysia (MARDI) telah diluluskan penubuhannya oleh Parlimen
pada tahun 1969. MARDI ditubuhkan dengan matlamat memajukan dan
megiatkan teknologi bersesuaian yang baru dan yang berkait dalam
industri pertanian di Malaysia. Teknologi ini bertujuan meningkatkan
penghasilan dan keberkesanan, dengan itu memodenkan sektor pertanian
selain meningkatkan pulangan petani. Akta Parliament 1969 membuka jalan
untuk penubuhan MARDI pada 28 Oktober pada tahun yang sama. Akta MARDI
membenarkan MARDI berfunsi secara bebas bagi menggalakkan penyelidikan
produktiviti. MARDI mula beroperasi pada tahun 1971.
Risda
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil
Perusahaan Getah ataupun RISDA - Rubber Industry Smallholders
Development Authority, adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan di bawah
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Malaysia yang
ditubuhkan pada 1 Januari 1973. Dengan pelancaran RISDA, nyatalah bahawa
Kerajaan memandang berat di atas peranan yang dijalankan oleh Sektor
Pekebun Kecil sebagai satu sektor pengeluaran hasil yang penting pada
ekonomi negara.
Felda
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
(bahasa Inggeris: Federal Land Development Authority (FELDA)) adalah
satu agensi kerajaan Malaysia yang menangani penempatan semula penduduk
luar bandar yang miskin ke kawasan-kawasan yang baru dibangun agar
meningkatkan taraf ekonomi mereka. Skim-skim FELDA hanya dikhaskan untuk
orang Melayu yang membentuk sebilangan besar penduduk Malaysia.
Sehingga tahun 2000, FELDA mengusahakan tanah sebanyak 9,000 kilometer
persegi, kebanyakannya ladang kelapa sawit. Walaupun objektif utama
FELDA adalah untuk mengurangkan kemiskinan di luar bandar melalui
petempatan semula, ia dilaporkan juga memegang kepentingan minoriti
dalam sebilangan bank utama Malaysia.
Felcra
Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah
Persekutuan atau FELCRA telah ditubuhkan pada tahun 1966. Matlamatnya
ialah untuk membangunkan sektor luar bandar dengan membantu
penduduk-penduduknya menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi negara Malaysia
dan seterusnya meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan mereka.
Mulai 1 September 1997, semasa dikorporatkan, FELCRA telah ditukar nama
kepada FELCRA Berhad dan statusnya telah bertukar dari sebuah Badan
Berkanun kepada sebuah Syarikat milik penuh Kerajaan. FELCRA Berhad kini
sedang mempelbagaikan bidang kegiatannya bagi menyertai sektor
perindustrian dan perkhidmatan serta bidang perniagaan yang sedang
berkembang.
MAHA 2006
Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro
Pelancongan Malaysia 2006 (MAHA 2006) merupakan pameran pertanian yang
diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia di (MARDI) Serdang,
Selangor. Lebih 100 jenis orkid dipamerkan pada pameran pertanian itu
termasuk dua spesies hibrid orkid baru yang akan dilancarkan iaitu
Dendrobium Abdullah Badawi dan Ascorahnis Datuk Seri Najib. Kerajaan
Malaysia akan menarik lebih banyak penyertaan sektor pertanian
berteknologi tinggi dari luar negara pada Pameran Pertanian, Hortikultur
dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 yang bakal dilengkapkan
dengan tapak dan dewan ekspo yang lebih luas dan canggih.
MPOB
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
adalah sebuah agensi utama kerajaan yang dipertanggunjawabkan meneraju
dan membangunkan industri sawit negara. MPOB berperanan penting dalam
mewujudkan objektif, polisi dan keutamaan negara bagi memastikan
perkembangan industri ini dengan sempurna dan teratur.
MPOB mempunyai pelbagai kemudahan
penyelidikan terdapat di ibu pejabat MPOB dan di luar kompleks
penyelidikan di Bangi seperti Pusat Teknologi Minyak dan Lelemak, Pusat
Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka, Pusat Maklumat Sawit, Loji Rintis
Penggorengan, Loji Rintis Biodiesel, Loji Rintis Alpha SME dan Loji
Rintis ‘High Oleic’. Bahagian Penyelidikan Teknologi Oleokimia, Pusat
Kejenteraan Ladang, Pusat Teknologi Biojisim, Pusat Teknologi
Metharizium dan Pusat Teknologi Kilang Sawit. Pelbagai penemuan
teknologi dan inovasi baru telah dikomersialkan termasuk bahan tanaman,
penjenteraan ladang, integrasi tanaman dan ternakan, kawalan serangga
dan penyakit, kegunaan makanan dan bukan makanan, pengilangan dan
pemprosesan, penggunaan biojisim dan biodiesel.