Rabu, 19 Ogos 2009

MAKLUMAT SENARIO KESIHATAN TERKINI..

CATATAN INI DIPETIK DARIPADA LAMAN-LAMAN BLOG YANG TELAH SEDIA ADA SEGALA MAKLUMAN YANG DIPERLUKAN... KERANA KETIKA MENJELAJAH KE LAMAN MEREKA YANG BERILMU MAKA BERTEMULAH JUGA ILMU PENGETAHUAN YANG BANYAK... SEMOGA DAPAT DIKONGSIKAN BERSAMA...

http://myduit4u.blogspot.com/
May 6, 2009
Evolusi virus pandemik selesema
Perumah virus selesema dan penyebaran virus antara spesies haiwan.

Berdasarkan kajian sains, terdapat tiga jenis virus selesema iaitu jenis A, B dan C tetapi hanya virus selesema jenis A dan B yang menyebabkan wabak.
Selain manusia, virus selesema A juga menjangkiti babi, ayam dan kuda.
Bagaimanapun, hanya manusia boleh dijangkiti dengan virus selesema B dan C manakala virus selesema A dikelaskan mengikut subtip berdasarkan perbezaan antigen glikoprotein permukaan pada virus iaitu haemagglutinin (H) dan neuramidase (N).
Sehingga kini, sebanyak 16 subtip H (H1-H16) dan sembilan subtip N (N1-N9) telah pun dikenal pasti.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Biosains UPM, Prof. Madya Dr Abdul Rahman Omar, secara teori, virus selesema A boleh dikelaskan kepada 144 subtip.
Katanya, ia terdiri daripada kombinasi berlainan H dan N yang berupaya untuk membentuk virus tertentu yang boleh menjangkiti pelbagai spesies unggas (avian) tetapi hanya jangkitan dari subtip
H5 dan H7 menyebabkan wabak highly pathogenic avian influenza (HPAI) seperti H5N1, H7N1 dan H7N7.
''Jangkitan virus selesema dalam babi yang kerap dijumpai adalah daripada virus selesema H1N1, H1N2 dan H3N2.
''Namun, virus selesema daripada subtip H1N7, H3N1, H4N6, H9N2, H5N2 dan H5N1 pernah ditemui di dalam babi yang diternak secara komersial," kata beliau.
Katanya, virus H1N1, H1N2 dan H3N2 yang ditemui pada babi di Eropah adalah berbeza dari segi genetik dan protein dengan virus yang dijumpai di Amerika Syarikat.
Berdasarkan maklumat yang sedia ada, virus selesema babi H1N1 yang ditemui di Mexico merupakan virus H1N1 yang unik yang belum pernah di temui sebelum ini.
Virus ini berupaya menyebabkan jangkitan berbahaya serta menyebabkan kematian dalam babi dan manusia yang dijangkiti.
Tidak seperti virus selesema burung H5N1 yang hanya boleh menjangkiti manusia menerusi haiwan terutamanya ayam yang dijangkiti dengan virus tersebut, jangkitan virus babi H1N1 ini berupaya merebak di antara manusia.
Ini membimbangkan ramai pihak kerana sekiranya virus ini berupaya merebak di antara manusia dengan efisien serta menyebabkan kematian pada kadar yang tinggi, ia boleh membawa kepada berlakunya pandemik yang dahsyat.
Namun, berdasarkan maklumat terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) bertarikh 27 April 2009, jangkitan virus selesema babi H1N1 yang menyebabkan kematian dalam manusia hanya dilaporkan di Mexico yang mana lebih daripada 1500 kes jangkitan paru-paru telah pun dikesan dengan lebih daripada 80 kematian.
Namun, hanya 26 kes dikenal pasti akibat daripada virus selesema babi H1N1.
Ketika rencana ini ditulis, kesemua kes yang dilaporkan di Amerika Syarikat iaitu sebanyak 40 kes, empat kes di Kanada dan satu kes di Sepanyol menunjukkan jangkitan ringan dalam manusia.
Kebanyakan pesakit yang dijangkiti telah pun menunjukkan tanda-tanda akan sembuh daripada jangkitan tersebut.
Di dapati juga, tiada risiko jangkitan daripada memakan daging babi yang dimasak dengan betul dan juga produk babi.
Berdasarkan kepada laporan dan maklumat yang diterima, banyak maklumat penting berhubung dengan virus selesema babi H1N1 ini yang masih kurang jelas.
Contohnya, mengapa hanya jangkitan H1N1 dalam manusia di Mexico boleh menyebabkan kematian tetapi tidak di negara lain seperti di Amerika Syarikat dan Kanada.
Antara faktor yang boleh dikaitkan adalah mungkin virus selesema babi H1N1 di Mexico adalah lebih patogenik kerana Mexico merupakan kawasan pertama (epicenter) berlakunya wabak virus H1N1 dalam babi dan manusia.
Virus ini kemudian mengalami proses mutasi yang menyebabkannya keupayaan menyebabkan jangkitan berkurangan.
Perkara ini boleh terjadi kerana kita tidak pasti tarikh sebenar jangkitan selesema babi H1N1 mula-mula berlaku di Mexico.
Selain daripada perbezaan pada tahap patogenik virus H1N1, salah satu faktor yang mungkin menyumbang kepada kes kematian yang tinggi di Mexico adalah berpunca daripada jangkitan virus H1N1 ini menyebabkan penindasan pada sistem imun perumah yang dijangkiti. Ini diikuti dengan komplikasi jangkitan patogen lain seperti bakteria dan virus bukan selesema.
Namun, keupayaan virus selesema babi menyebabkan kematian dalam babi dan manusia dengan menyebabkan pengaktifan melampau sistem imun tidak boleh dinafikan. Ini memandangkan virus ini berupaya merebak dengan cepat dan membunuh manusia, dan kemungkinan menyebabkan pandemik.

Namun semua teori ini perlu dibuktikan melalui kajian terperinci jangkitan virus H1N1 dalam model haiwan eksperimen yang sesuai.
Adalah penting manusia yang terkena jangkiti virus H1N1 mendapat rawatan yang segera bagi memastikan jangkitannya tidak berpanjangan di samping sentiasa memastikan tahap kesihatan badan yang baik.
Terdapat vaksin selesema dari jenis virus selesema H1N1 yang boleh digunakan dalam babi.
Namun kajian yang lebih lanjut perlu dijalankan sebelum vaksin tersebut dapat digunakan pada babi bagi memastikan ia benar-benar dapat menghalang jangkitan virus tersebut dengan berkesan.
Mengenai penggunaan vaksin pada manusia, tiada vaksin yang berupaya menghalang jangkitan selesema babi H1N1.
Perkembangan dalam status jangkitan pada babi dan manusia pada masa yang terdekat ini adalah penting dalam menentukan sama ada virus H1N1 berupaya menyebabkan pandemik selesema dalam manusia yang merbahaya.
Langkah kawalan dan pemantauan perlu terus dilaksanakan oleh semua agensi yang relevan bagi memastikan manusia dan babi bebas daripada virus selesema H1N1. Kehadiran serentak virus H1N1 dari jenis manusia dan babi dalam perumah yang mudah terdedah boleh mencetuskan virus H1N1 baru yang lebih berbahaya dari virus H1N1 yang sedang menular di Mexico.



H1N1: 10 panduan kuarantin di rumah
Jun 27, 09 4:38pm
10 langkah yang perlu dilakukan semasa kuarantin di rumah seperti garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
1. Anda perlu berada di rumah sepanjang tempoh kuarantin yang ditetapkan (seboleh-bolehnya duduk dalam bilik berasingan dari ahli keluarga yang lain).
2. Anda tidak dibenarkan keluar dari rumah sama ada untuk bertugas, pergi ke sekolah, tuisyen, rumah ibadat, majlis makan, kenduri, membeli-belah dan lain-lain aktiviti atau mana-mana tempat awam.
3. Amalkan kebersihan diri:
Tutup mulut dan hidung dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah.
Kerap membasuh tangan dengan air dan sabun terutama selepas batuk atau bersin.
Basuh tangan selepas menyentuh hidung, mulut dan mata anda.
Elakkan berkongsi tandas, peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan lain-lain.
Pastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah
Permukaan objek seperti lantai dan meja yang tercemar oleh cecair hidung atau mulut perlu dibersihkan.
Gunakan bahan cucian berasaskan klorin (misalnya, chlorox - campurkan 1 bahagian chlorox dengan 49 bahagian air).
4. Jika anda demam, batuk dan mengalami gejala-gejala selesema dan perlu berhubung dengan orang lain, gunakan penutup mulut dan hidung (mask).
5. Kurangkan pertemuan dengan rakan atau saudara mara dan elakkan dari hadir di tempat awam.
6. Pantau suhu badan (demam) dan tanda-tanda jangkitan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.
7. Dapatkan bantuan saudara mara atau rakan bagi memperolehi keperluan harian jika tinggal bersendirian.
8. Catatkan nama, nombor telefon dan alamat saudara mara, rakan atau mereka yang mengunjungi rumah anda.
9. Segera hubungi Pegawai Kesihatan Daerah berdekatan sekiranya mengalami demam atau gejala-gejala lain penyakit.
10. Ikuti perkembangan semasa mengenai penyakit ini dari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia, radio, TV dan akhbar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan