http://sarjana.tripod.com/guru1.html
DILEMA GURU MENDISPLINKAN PELAJAR
Pendahuluan
Cabaran era komunikasi abad ke-21 terhadap sistem pendidikan negara begitu terasa. Ledakan teknologi maklumat dan kemajuan teknologi global serta kewujudan arus perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) dalam sistem pentadbiran negara, menuntut konsep pendidikan mencorak ke arah yang bercirikan teknologi secara saintifik.
Profesion perguruan juga merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-matanya, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dalam segi moral dan etika yang murni. Disiplin dalam bentuk formal perlu dirangka di sekolah-sekolah. Malangnya ketika kita bersungguh-sungguh menyahut cabaran masa kini untuk menrealisasikan aspirasi negara, timbul pula bantahan ibu bapa terhadap hukuman guru-guru ke atas pelajar dan berita berkenaan dengan ibu bapa atau pelajar menyerang atau mencederakan guru. Maka timbullah persoalan sama ada patutkah institusi pendidikan khususnya guru-guru sekolah terlibat dalam soal mendisiplinkan pelajar dan apakah kaedah yang patut dilaksanakan bagi menjatuhkan hukuman disiplin terhadap pelajar?
Kerjaya guru dipandang rendah
Dahulu, para pendidik mempunyai status yang tinggi dalam hierarki hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi. Ini kerana pelajar hari ini dimewahkan oleh ibu bapa sendiri. Fenomena yang biasa berlaku sekarang ialah para guru menunggu bas manakala murid menunggu pemandu peribadi mereka untuk pulang apabila selesai sesi persekolahan. Tidak kurang yang memandu sendiri ke sekolah dan amat biasa murid memegang telefon bimbit.
Kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik menyebabkan hormat mereka terhadap guru berkurangan. Guru sering dipandang rendah dan akibatnya mereka tidak takut untuk melawan guru. Sikap ibu bapa yang menyebelahi anak-anak juga menjadi punca pelajar melawan guru.
Bantahan ibu bapa terhadap tindakan disiplin.
Kalau kita membicarakan tentang masalah guru memukul pelajar. Pasti banyak tafsiran yang berbeza mengenai guru yang jahat. Kalau seorang murid sekolah rendah, pasti katanya guru yang jahat akan memberi latihan atau kerja rumah yang banyak. Jelas di sini keikhlasan guru yang memberi latihan atau kerja rumah utuk meningkatkan kemahiran murid, disalah tafsirkan sebagai jahat. Tetapi mereka lupa, bahawa guru itu lebih banyak menghabiskan masanya untuk menyemak latihan atau kerja rumah murid-muridnya. Dalam hal ini, ibu bapa yang kurang faham akan beranggapan guru memberi kerja rumah yang banyak sebagai mendera anak mereka.
Murid-murid sekolah menengah, pasti mengatakan guru yang jahat akan selalu menghalang atau mengawal mereka dari segi kesalahan. Sekali lagi keikhlasan guru yang cuba mendisiplinkan mereka disalah tafsirkan sebagai jahat. Tetapi mereka lupa, bahawa guru melakukan semua itu cuma untuk kebaikan mereka juga. Bagi sesetengah pihak ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan, pasti mereka kurang bersama anak-anak dalam kehidupan seharian. Mereka pasti tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh anak mereka. Tetapi bila guru cuba memperbetulkan tingkah laku anak murid mereka, ibu bapa akan cepat melenting. Mereka beranggapan bahawa guru itu mendera anak mereka sahaja.
Ibu bapa seharusnya sedar, naluri seseorang kanak-kanak dan remaja sememangnya nakal dan setiasa mempunyai perasaan yang suka memberontak. Proses mendisiplin pula amat rumit dan berhadapan dengan pemberontakan jiwa anak-anak. Proses mendisiplinkan di tahap remaja atau buluh lebih menyukarkan dan sebab itu ibu bapa mengelak utnuk mendisiplinkan anak mereka sama ada melalui perang psikologi mahupun rotan. Mereka takut untuk berhadapan dengan sikap pemberontakkan anak-anak mereka ini. Ibu bapa bimbang anak-anak mereka akan lari dari rumah atau melakukan perbuatan yang negatif seperti menagih dadah dan sebagainya.
Institusi sekolah yang bersedia memainkan peranan itu, menggariskan beberapa garis panduan dan disiplin yang semata-mata mahu mendidik dan mengawal tingkah laku pelajar yang pada peringkat usia sebegini mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dan persekitaran. Alangkah baiknya pihak ibu bapa pula menghormati dan berterima kasih kepada para guru dan pihak sekolah kerana secara tidak langsung mengambil alih tugas mereka bagi mendisiplinkan dan memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka. Semua tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada guru untuk mendisiplinkan murid-murid, dengan niat untuk membentuk dan mendidik mereka supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna suatu hari nanti.
Menurut Kamarrudin Jusoh bekas pengetua sekolah menengah yang berpengalaman selama sebelah tahun sebagai guru disiplin. Sekalipun ia menjadi musuh kepada murid-murid, tetapi sebilangan besar bekas pelajarnya "kepala samseng" (suka bergaduh, mencuri, pecah sekolah, peras ugut, merokok, ponteng sekolah dan sebagainya) telah dapat di bentuk untuk menjadi insan yang kamil walaupun mereka ini tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan formal mereka. Dalam hal ini, jelas kepada kita bahawa, sewaktu usia murid-murid yang belasan tahun, mereka tidak dapat berfikir secara resional. Dengan menggunakan disiplin di sekolah, mereka dapat diubah dan dibentuk. Setidak-tidaknya mereka akan berterima kasih di atas disiplin yang pernah dikenakan sewaktu usia remaja mereka.
Jika diamati, pelajar hari ini yang terdiri dari remaja sering dibabitkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku. Pergaduhan dan gengsterisme, merokok, menagih dadah, seks bebas, memusnahkan harta benda awam (vandalisme), merompak dan ada yang mengupah orang untuk memukul guru.
Perlakuan sebergini tidak disedari oleh ibu bapa kerana kejadian tidak berlaku di hadapan mata mereka. Mereka akan cepat marah sekiranya anak mereka menunjukkan lebam dan mengadu dipukul guru. Lazimnya, mereka terlupa untuk bertanya mengapa anak mereka dipukul.
Akhbar Berita Harian, 31 Oktober 1996 melaporkan kejadian mengenai tindakan sekumpulan penduduk menyerang seorang guru dan pengetua Sekolah Menengah Agama Al-Irsyad di Kampung Kurnia, Kuatan. Insiden tersebut telah dapat menunjukkan tahap keseriusan hubungan yang renggang di antara guru dan masyarakat setempat. Hubungan erat serta penghormatan guru dahulu kala telah lupus akibat ditelan zaman.
Peliknya dunia hari ini kerana ibu bapa akan lebih melenting sekiranya mendapat tahu anak mereka dipukul oleh guru sekolah tetapi mereka akan membisu sekiranya mendapat tahu anak mereka menjadi bohsia, bohjan ataupun menagih dadah.
Institusi sekolah dan guru pada hari ini dianggap sebagai budaya dan bukan lagi institusi yang memberi ilmu kepada murid-murid. Sebab itulah para ibu bapa menganggap guru dibayar gaji untuk membantu anak mereka lulus peperiksaan. Tugas guru sebagai penyalur pengetahuan tidak lagi dipandang tinggi malah tugas pendidik masa kini dianggap sebagai kerja yang perlu dilakukan oleh guru. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada berlaku keterlanjuran tindakan disiplin oleh segelintir guru terhadap pelajar kerana mereka juga manusia biasa, tetapi sikap agresif ibu bapa mungkin boleh melemahkan semangat guru untuk menjalankan tugas secara dedikasi pada masa depan.
Ketidakadilan Media Massa
Berita guru memukul pelajar dan sebaliknya sering berlaku dan menjadi topik media juga bualan hangat masyarakat. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media masa (Lampiran A).
Pihak ibu bapa hari ini sering mencari jalan penyelesaian mudah bagi menangani masalah anak-anak mereka yang dipukul guru. Mereka lebih gemar berpaling kepada media sebagai perunding cara dan jalan penyelesaian segera. Sikap sebegini boleh dianggap tidak rasional dan tidak adil bagi para guru. Media masa pula sering berpihak kepada murid yang terlibat tanpa pertimbangan yang wajar.
Dalam beberapa kes guru memukul pelajar, ibu bapa sering menjadikan pihak media sebagai tempat mengadu hal. Sebaik-baiknya ibu bapa perlulah mendapat keterangan dari pihak sekolah terlebih dahulu sebelum mengambil apa jua tindakan. Seandainya ibu bapa cuma mendengar aduan anak mereka, sudah pastilah mereka akan menyalahkan guru yang memukul anak mereka. Dalam pandangan mereka, pasti guru tidak adil dan jahat. Malah ada yang menuduh guru sengaja mencari peluang untuk memukul kerana membenci muridnya. Keadaan ini pasti sering membawa kepada laporan negatif kerana mengikut perasaan marah dan dendam ibu bapa itu sendiri.
Pihak media masa pula sering memperbesar-besarkan isu ini dengan tujuan dapat melariskan jualan mereka. Kerana ada sesetengah media masa cuma mengutamakan keuntungan sahaja tanpa memikirkan kenyataan yang betul. Ada waktunya murid yang dipukul hanya mengalami segaris luka tetapi perkataan sensasi yang sering digunakan ialah ‘cedera’. Guru digambarkan sebagai jahat kerana memukul murid tetapi apabila diketahui bahawa sikap murid terbabit sebagai punca dia dipukul, media tidak pernah memperbetulkan cerita apa lagi meminta maaf. Keadaan ini jelas sekali, pasti kita tidak pernah mendengar berita dari media masa yang melaporkan tentang murid yang melakukan kesalahan disiplin perlu dipukul. Kenapakah keadaan ini berlaku? Pasti kerana berita ini tidak menarik minat para media masa begitu juga dengan masyarakat umumnya.
Faktor yang menyumbang terhadap dilema guru:
Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (KPPK), N. Sivasubramaniam, fenomena guru dera murid berkesinambungan dengan beban tugas dan tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul oleh para guru dalam merealisasikan cita-cita kerajaan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebah negara industri yang maju.
Beliau menyenaraikan beberapa lagi faktor yang menyumbang terhadap dilema guru:
- Tidak ada motivasi dan insentif.
- Tugas dan sumbangan yang tidak diikhtiraf.
- Penempatan guru tidak mengikut pilihan dan keperluan sekolah.
- Gaji yang tidak setimpal.
- Tekanan oleh Pentadbir, Jabatan Pendidikan Negara (JPN), Pusat Pendidikan Daerah (PPD), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masyarakat, parti politik dan agensi-agensi lain.
- Tiada perlindungan daripada ugutan dan serangan oleh ibu bapa, murid-murid dan masyarakat.
- Kemudahan asas sekolah yang tidak mencukupi atau tiada langsung.
- Tugas-tugas tambahan selain daripada mengajar.
- Harapan terlalu tinggi oleh Pentadbir, PPD, JPN dan masyarakat terhadap guru.
- Status guru yang masih di tahap rendah berbanding Perkhidmatan Awam yang lain.
- Pilih kasih di kalangan Pengetua atau Guru Besar.
- Bilangan murid yang terlalu ramai.
- Keadaan kerja dan peluang kenaikan pangkat atau gaji yang lebih baik dan adil di sektor lain.
- Sikap tidak peduli di kalangan Pengetua, Guru Besar, Pegawai JPN dan PPD.
- Diminta mengajar mata pelajaran bukan pilihan.
- Bosan (Burn-out).
- Jawatan guru tidak mempunyai jadual kerja yang tetap.
- Para guru tidak dapat membuat keputusan atas hala tuju atau dasar sekolah.
- Penilaian prestasi yang tidak adil.
- Pencerapan oleh guru-guru muda.
- Terlalu banyak mesyuarat guru atau kursus.
- Kekurangan guru.
- Tiap-tiap pengarah mempunyai sasaran atau matlamat masing-masing. Para guru kerap mengalami kesukaran menyesuaikan diri menghadapi perubahan tersebut.
Kekerasan untuk mendidik?
Biasanya bukan sengaja guru ingin menimbulkan masalah, sudah tentu punca segera datang daripada kenakalan atau kedegilan kanak-kanak itu sendiri. Bukan semua murid itu baik dan patuh pada peraturan sekolah. Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita fahami.
Sememangnya kita tidak boleh memaafkan guru yang sudah dewasa dan berfikiran matang terlibat dalam insiden itu, tetapi dalam sesetengah kes mereka mungkin hilang pertimbangan. Pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr. Mohd. Amin Shariff berpendapat segelintir guru yang berhadapan dengan masalah disiplin mahupun masalah pencapaian akademik murid yang lemah, membuat penilaian bahawa murid perlu dihukum sebagai peringatan, pengajaran dan kesedaran. Mungkin guru tersebut termasuk dalam golongan yang yakin bahawa hukuman fizikal seperti merotan dan mendera akan memberi manfaat.
Tetapi akibat daripada tindakan fizikal itu, kecederaan hingga luka dan lebam sudah tentu merisaukan ibu bapa. Mungkin guru berkenaan tidak berniat berbuat demikian hingga perlu mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan dalam menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu terjadi.
Pada masa lalu memang banyak ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru. Jika guru menghukum murid, murid tidak berani mengadu kepada ibu bapa sebab ibu bapa akan memihak kepada guru. Kini banyak ibu bapa berpelajaran tinggi dan mengubah cara keibubapaan daripada penggunaan kekerasan kepada psikologi. Cara kekerasan pada mereka adalah kuno dan kolot yang tidak sesuai lagi pada zaman ini. Tetapi hakikatnya, bukanlah mudah untuk meninggalkan cara kekerasan dalam mendidik pelajar.
Sesungguhnya kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya mematuhi segala arahan sekolah, tetapi pada masa yang sama ada segelintir guru yang enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian (lihat Lampiran B). Ada segelintir guru menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara sendiri.
Tekanan jiwa
Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, guru sekarang berdepan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan pelbagai karenah. Ini berbeza dengan murid yang diajar oleh rakan sejawat mereka sedekad dua yang lalu. Ketika itu murid lebih patuh kepada guru dan wajar dicontohi .
Prof. Dr. Robiah Sidin berpendapat punca guru bertindak keterlaluan mungkin kerana menghadapi tekanan jiwa akibat beban kerja yang terlalu banyak, tanggungjawab semakin berat dan tuntutan masyarakat yang menggunung terhadap guru.
Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan berpendapat punca guru bertindak agak kasar mungkin kerana hilang kesabaran. Mungkin jika seorang murid yang nakal dapat dikawal tetapi kalau terlalu ramai boleh menghilangkan kesabaran guru. Guru juga manusia biasa jika terlalu tertekan, sesekali kesabaran tidak boleh dikawal.
Tidak minat
Kaunselor Universiti Islam Antarabangsa, Asniza Mamat, menjelaskan salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap murid ialah guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion perguruan .
Bila tidak minat, bagaimana seseorang guru itu hendak menyesuaikan diri dengan karenah murid. Sudah tentu mereka tidak punya perasaan sabar. Mereka mudah rasa marah. Guru juga adalah manusia biasa yang mempunyai emosi, kadangkala perasaan marahnya sampai ke tahap lupa bahawa dia adalah guru dan berhadapan dengan anak orang lain.
Sesetengah guru menghukum dengan tujuan untuk mendidik kerana kenakalan murid berkenaan. Jangan salahkan guru sahaja kerana ibu bapa juga terlibat kerana kurang menekankan pendidikan moral kepada anak masing-masing. Ada juga murid yang berperangai baik di rumah tetapi nakal di sekolah.
Kini kebanyakan guru yang dikeluarkan dari maktab atau universiti bukan bercita-cita untuk menjadi guru sebenarnya. Apabila bilangan guru amat berkurangan, kita terima sahaja golongan yang sebenarnya tidak begitu sesuai menjadi guru. Mereka yang dilatih di maktab dan universiti inilah ada yang bersifat negatif dan orang begini tidak sesuai sebagai guru.
Bendung segera
Pendedahan kes guru mendera murid ada kebaikan untuk masyarakat menilai semula peranan masing-masing dalam mencari penyelesaiannya. Gejala ini perlu dibendung segera dan semua pihak terlibat.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan supaya bengkel-bengkel diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan perasaan tertekan.
Cara mengatasi guru ganas bukan sekadar menukar ke tempat lain semata-mata. Guru-guru yang tidak berminat mengajar, lebih baik diambil tindakan tegas dengan memberhentikan guru tersebut.
Isu guru adalah masalah negara yang perlu diberi perhatian dengan menaikkan taraf profesion dan peruntukan gaji yang munasabah. Inilah masalah kualiti guru kesan daripada pengambilan yang bertujuan hanya untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru. Seandainya, guru yang betul-betul layak perlu diperolehi dengan kadar segera.
Dr. Mohamed Awang turut mencadangkan untuk mengatasi masalah guru ganas ialah menapis calon guru dari peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini berguna untuk menguji kesesuaian seseorang sebagai guru.
Guru perlu sedar bahawa pelajar adalah manusia biasa yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh itu murid patutlah mendapat layanan yang beradab. Dengan cara inilah boleh mendorong murid memberi penghormatan yang setimpal dengan layanan yang diberikan oleh guru kepada mereka. Sikap guru yang bengis dan garang hanya menakutkan murid untuk ke sekolah.
Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu marah dan jauhkan daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru.
Guru Boleh Didakwa
Menurut Presiden Persatuan Penguam Muslim, Zaitoon Datuk Othman, terdapat beberapa peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan telah menyedia dan menetapkan prosedur dan tindakan terhadap mereka yang mencederakan. Mulai dari Seksyen 319 ia menyentuh pelbagai perundangan terhadap mereka yang mencederakan. Antara seksyen yang menarik ialah peruntukan di bawah Seksyen 320 iaitu cedera parah; Seksyen 321 - dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 322 - dengan sengaja menyebabkan cedera parah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa terdapat peruntukan di bawah Seksyen 350 iaitu kekerasan jenayah yang menetapkan bahawa barang siapa dengan sengaja menggunakan kekerasan kepada seorang lain dengan tidak kerelaan, maka ia telah melakukan atau dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah.
Sebagai contoh dalam Kanun Keseksaan, misalan, jika seorang guru besar telah menjalankan budi bicaranya dengan munasabah sebagai guru sebat seorang pelajar, maka guru tersebut tidak menggunakan kekerasan jenayah kepada pelajarnya kerana guru itu bermaksud hendak menyebabkan ketakutan dan kegusaran, ia tidak menggunakan kekerasan dengan menyalahi udang-undang.
Bagaimanapun, jika murid berkenaan mengalami kecederaan yang teruk akibat dipukul oleh guru berkenaan, maka ibu bapa dinasihatkan membawa anaknya berjumpa dengan doktor di hospital kerajaan untuk tujuan rawatan dan laporan kesihatan. Ini harus disusuli dengan laporan polis.
Dalam konteks tindakan undang-undang, ibu bapa boleh mengambil tindakan prosedur undang-undang jenayah (criminal offence) ataupun sivil di bawah Undang-undang Tort. Di bawah prosedur Undang-undang Tort, tindakan yang dibawa oleh ibu bapa sebagai plaintif boleh menuntut pampasan bagi pihak anaknya daripada guru yang memukul di mahkamah sivil.
Rumusan
Kesihan para guru. Berita segelintir mereka memukul murid sering menjadi bahan berita sensasi pihak media tetapi apabila pihak media dan masyarakat bersimpati dengan mereka, kereta mereka pula yang dirosakkan oleh pelajar-pelajar.
Jelas sekali gurulah yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplin lantas menghadapi pelbagai risiko keganasan pelajar. Layaknya mereka disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera.
Justeru itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan rasional apabila berdepan dengan kes guru memukul anak mereka. Tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul murid.
Dalam prinsip dan garis panduan pertama ditegaskan status guru hendaklah sejajar dengan keperluan pendidikan seperti yang dinilai dalam konteks objektif dan tujuan pendidikan semasa. Dalam hal ini perlu diterima kahikat bahawa status profesion perguruan dan pengiktirafan masyarakat terhadap profesion itu adalah unsur terpenting menentukan keupayaan untuk merealisasikan tujuan dan objektif pendidikan.
Sebaliknya ibu bapa harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar memberi ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah.
http://cikguhaidi.wordpress.com/2010/01/21/dilema-guru/
Dilema Guru
21 Januari 2010
Salam sejahtera,
Terima kasih kerana anda masih terus mengunjungi laman ini. Semoga anda dapat menjalankan tugas harian dengan penuh dedikasi. Pagi ini, saya telah membaca akhbar Kosmo! semasa sedang rehat di kantin sekolah. Pandangan mata tertumpu pada tajuk yang agak menarik perhatian ‘Ibu Pelajar Tampar Guru’.
Saya rasa terpanggil untuk memberi pandangan tentang beberapa kejadian berhubung masalah antara ibu bapa-guru-pelajar ini. Saya mula mengajar sejak 2004 dan sudah menghadapi pelbagai kerenah dan masalah daripada guru sendiri, ibu bapa mahu pun pelajar. Sebab itulah kerjaya sebagai guru ini mencabar kerana kedudukan guru berada antara pihak atasan dengan orang awam. Guru berada di tengah-tengah bertindak menyalurkan maklumat dengan berkesan. Sebarang kesilapan sama ada daripada mana-mana pihak, guru akan tetap dipersalahkan.
Dalam sesebuah sekolah, bukan semua pelajarnya baik, boleh duduk diam, boleh buat kerja sendiri, tak kacau orang lain atau tak bergaduh. Bukan semua sekolah pelajarnya pintar, pandai dan bijaksana. Bukan semua pelajarnya berlagak seperti samseng, kuat agama dan sebagainya.
Walaupun hanya segelintir pelajar yang bermasalah, bilangan yang sedikit inilah yang selalunya akan menimbulkan masalah di sekolah terutamanya dari segi disiplin.
Sebahagian pelajar seperti ini hanya tahu datang ke sekolah tetapi mereka tiada hala tuju. Hadir ke sekolah hanya untuk memenuhi ‘syarat’ sahaja. Apabila pulang ke rumah, apa yang mereka lakukan?
Walaupun bukan semua pelajar ini menimbulkan masalah di sekolah, tetapi ia tetap memberi kesan terutamanya kepada prestasi akademik sekolah dan guru.
Pelajar seperti ini tidak belajar secara ‘serius’, lebih banyak bermain dan mengganggu rakan. Apabila ditegur, pelajar sudah berani melawan guru. Apabila dirotan, ibu bapa datang ke sekolah dan serang cikgu. Inikah sebenarnya sistem pendidikan yang diamalkan di semua sekolah?
Ibu bapa sewenang-wenangnya masuk ke kelas tanpa mendapatkan kebenaran guru, memarahi murid lain yang mengganggu anak mereka? Memaki hamun guru sesuka hati walhal kesalahan dilakukan atas kecuaian pelajar sendiri? Bukankan kita ada saluran yang betul untuk mengadu? Jika ada jalan penyelesaian, kenapa ia tidak digunakan sebaiknya?
Guru tidak diberi kuasa untuk membentuk disiplin murid. Tiada lagi amalan merotan jika murid didapati bersalah seperti yang dilakukan semasa saya sekolah zaman kecil-kecil dahulu.
Zaman sekarang, isu disiplin murid semakin meruncing. Banyak pihak menuding pihak sekolah lebih-lebih lagi guru yang tidak cekap menjalankan tanggungjawab. Pelbagai program membentuk disiplin dilaksanakan, pelbagai kaedah dicuba bagi mengurangkan kadar disiplin pelajar yang semakin teruk. Tapi, hasilnya tetap sama. Yang tetap disalahkan adalah guru juga.
Saya pernah berbual dengan seorang pelajar lepasan sekolah yang gemar melepak, merempit dan kaki gaduh. Apabila disebut tentang soal disiplin, pelajar ini berkata, “cikgu buatlah macam mana pun kat sekolah, kami akan tetap macam ni sebab kami tau cikgu takkan berani pukul kami. Cikgu cuma cakap saja. Apa yang kami nak takut?..”
Ada segelintir ibu bapa pula yang gemar mencari salah guru dan kuat mengadu seperti budak-budak tadika. Saya dah lalui semua itu. Dalam hal ini, jika guru bersalah, tegurlah secara berhemah dengan emosi yang positif. Bukannya memaki hamun, menampar atau memukul guru. Murid perlu ditegur dari awal. Jika tiada siapa yang menegur, mereka akan bersikap kurang ajar dengan guru. Pasti ibu bapa murid tahu akan hal ini. Tapi, tidak tahulah jika ada ibu bapa yang tidak kisah jika anak mereka bersikap biadap di rumah.
Ingatlah, masa hadapan pelajar ini semuanya bergantung di hujung mata pena seorang guru sama ada biru, hitam atau merah!
Sekian,
NORHAIDI BIN HAJI SARPONEN
Teacher’s Department.