Ketika menulis artikel minggu ini, penulis masih berada di kota London setelah tiga hari berada di Universiti Cambridge bagi memenuhi jemputan menyampaikan syarahan mengenai penstrukturan instrumen kewangan Islam di salah sebuah universiti tertua di dunia.
Apa yang menarik untuk dikongsikan dengan pembaca minggu ini ialah fakta dibentangkan salah seorang ahli ekonomi Britain yang mendedahkan bagaimana kecenderungan masyarakat di sini yang terjebak dengan pelbagai skim pelaburan cepat kaya seperti skim ponzi.
Ternyata fenomena melanda masyarakat di Britain kini hakikatnya tidaklah asing bagi masyarakat di Malaysia. Malah ketika ini, masyarakat Malaysia kelihatan begitu mudah tergoda dengan pelbagai bentuk pelaburan yang menjanjikan keuntungan mudah seperti skim cepat kaya, piramid dan pelaburan internet. Fenomena ini tampak semakin berleluasa dalam masyarakat yang bagaikan hilang pertimbangan rasional apabila dijanjikan pulangan berlipat-ganda tanpa perlu mengerah tenaga.
Semakin banyak kes penipuan didedahkan media semakin ramai yang terjebak dengan skim-skim pelaburan seperti ini. Lebih memeranjatkan, mereka yang terjebak termasuklah golongan terpelajar, pegawai kerajaan dan swasta mahupun generasi belia remaja yang begitu terdorong untuk menjadi kaya.
Pelaburan dengan jaminan keuntungan tanpa perlu berusaha seperti ini pastilah mencetuskan keraguan dari perspektif syarak yang jelas bertentangan dengan hadis nabi yang masyhur: “Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko” (Riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibnu Hibban dan Abu Daud).
Hadis Nabi ini telah disepakati ulamak sebagai suatu kaedah fiqh dalam penentuan kesahihan sesuatu keuntungan, sama ada melalui pelaburan mahupun jual beli. Dalam kontrak pelaburan umpamanya, ulamak menyepakati bahawa jaminan keuntungan bagi sesuatu pelaburan adalah haram kerana ia adalah riba (rujuk resolusi syariah AAOIFI, 2005).
Bagi penulis, fenomena kegilaan masyarakat untuk menjadi kaya melalui pelbagai skim pelaburan yang masih diragui kesahihan syaraknya amat terkait dengan faktor memudarnya budaya qanaah dalam jiwa umat Islam hari ini.
Qanaah merupakan salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian ALLAH. Qanaah juga merupakan suatu manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.
Manusia tidak beriman dan terbudaya dengan nilai qanaah amat mudah dikuasai sifat-sifat kebinatangan tersebut. Manusia yang berwatak binatang tidak akan pernah berasa puas dengan hasil sedikit dan tidak pula berasa kenyang dengan pendapatan melimpah ruah.
Sebuah hadis jelas menggambarkan tabiat manusia seperti ini: Jika seorang anak Adam memiliki emas sepenuh dua lembah sekalipun maka dia akan (berusaha) mencari lembah yang ketiga. Perut anak Adam tidak akan berasa puas sehinggalah dipenuhi dengan tanah. (Riwayat Bukhari).
Membudaya sifat qanaah dalam diri tidak pula bermakna Islam menyuruh golongan fakir miskin berpuas hati dengan taraf hidup yang rendah dan hina. Ia juga tidak bermakna bahawa kita harus berhenti mencari kekayaan halal, penghidupan baik serta kehidupan yang berkecukupan.
Sesungguhnya Rasulullah SAW sendiri pernah meminta kekayaan dan ketakwaan daripada ALLAH sebagaimana doa diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz: “Ya ALLAH, aku memohon ketaqwaan, petunjuk, kemuliaan dan kekayaan kepadamu”. Baginda juga pernah mendoakan sahabat Anas bin Malik dengan doa berikut: “Ya ALLAH perbanyakkanlah hartanya.” (Riwayat Bukhari).
Apa yang penting kekayaan ingin dikecap mestilah dengan cara halal tanpa mencetuskan penindasan kepada orang lain. Sifat qanaah akan mewujudkan pola kehidupan sederhana dan menghindari gaya hidup berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan. Biasanya gaya hidup bermewah-mewahlah yang mendorong pelbagai perilaku songsang hingga tidak lagi mengenali batasan halal dan haram.
Justeru, amat penting sekali budaya qanaah ini kembali disemarakkan dalam diri setiap individu agar membentengi diri daripada terjerumus dalam pelbagai skim cepat kaya yang pada hakikatnya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.
Kekayaan yang diperoleh secara halal akan menjadikan manusia lebih bertakwa, dilimpahi rahmat dan barakah ALLAH. Sebaliknya kekayaan yang tidak berasaskan keimanan hingga tercabutnya sifat qanaah dalam diri hanya akan melahirkan manusia berbudaya foya-foya tetapi pengecut, hilang daya juang dan tidak berani menghadapi risiko. Berleluasanya fenomena sedemikian adalah petanda kehancuran sesuatu umat.